Tuesday, 26 April 2011
~PuLaU peRhEntiAn~
Menurut sumber, Pulau Perhentian mula didiami sekitar abad ke-18 apabila lokasi Teluk Dalam mula diteroka dan didiami. Ia merupakan sebuah kawasan di sekitar sebatang alur air payau yang cetek dan dikenali dengan nama Alur Cina. Dipercayai orang yang mula-mula mendiami kawasan itu ialah Batin Mina sekeluarga yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjadikan Pulau Perhentian sebuah penempatan pada waktu itu. Penduduk-penduduk lain yang mula mendiami Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau.
Batin Mina yang merupakan peneroka utama Pulau Perhentian dan keluarganya telah datang ke sini dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang-alik dari China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana bertindak menentang penjajah dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagangan Barat pada ketika itu. Setelah berjaya melarikan diri, Batin Mina dan keluarga telah membuat penempatan di Pulau Perhentian dan ia terus berkembang sehingga ke hari ini. Selain itu, terdapat juga beberapa keturunan beliau yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung yang turut menetap di sini.
Tidak ada sebarang nama yang khusus untuk pulau ini pada awal pembukaannya. Ia sering kali menjadi tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga turut dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai) untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana ia sentiasa dijadikan tempat persinggahan pada ketika itu, maka penduduk asal telah sepakat untuk menamakan pulau tersebut dengan nama Pulau Perhentian dan ia kekal sehingga ke hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment