Lost World of Tambun
BERBANDING taman tema lain di seluruh negara, Lost World of Tambun (LWOT) di Ipoh, Perak paling unik.
Ia adalah taman tema air buatan manusia dengan seni bina Mayan yang cantik selain pemandangan indah tasik, hutan hujan tropika dan bukit batu kapur berusia 400 juta tahun.
Lima elemen yang dipertaruhkan sebagai tarikan ke LWOT iaitu Waterfall Beach Garden, Adventurific Water Slider (taman air), Fantabulous Dry Rides (taman tema kering), Tambun Hot Springs dan Tiger Valley.
Waterfall Beach Garden menampilkan Jungle Wave Bay, kolam ombak tiruan terbesar di Malaysia dengan keluasan 3,200 meter persegi dan setiap satu daripada tujuh pukulan ombaknya berbeza-beza.
Taman airnya juga menjanjikan keseronokan maksimum seperti Adventure River, sungai buatan terpanjang di Asia iaitu 600 meter.
Jika mahukan sesuatu yang lebih mencabar, anda boleh bermain gelongsor pelampung.
Untuk kanak-kanak berusia lapan tahun ke bawah, Explorabay adalah tempat yang paling sesuai. Bermain air pancut di kolam yang cetek pasti menyeronokkan mereka.
Fantabulous Dry Rides pula menyediakan permainan lebih mencabar seperti Storm Rider. Ia yang direka bentuk seperti sebuah kapal abad ke-16 mampu memuatkan 40 penumpang dan dibuai ombak dalam tempoh dua minit.
Alat permainan ciptaan Itali itu boleh berhayun setinggi 180 darjah dengan kelajuan 45 kilometer sejam.
Permainan lain yang menyeronokan ialah Perak Parade, Dragon Flights, Giddy Galleon atau Adventure Express, kereta api zaman silam.
Satu kelainan LWOT adalah Tambun Hot Springs iaitu kolam khas dibina dengan mengambil air panas dari sumber asalnya sejauh 600 meter.
No comments:
Post a Comment